Kepada semua guru dan murid-murid yang menggunakan komputer di dalam makmal komputer sila isikan nama pada Rekod Penggunaan Makmal Komputer 2010. Kerjasama cikgu-cikgu dan murid-murid amat dihargai. Terima kasih.

Assalamualaikum WarahmatullahiTaala Wabarakatuh.
Terlebih dahulu di kesempatan ini saya bagi pihak pentadbiran sekolah, Ahli Jawatankuasa PIBG, barisan pendidik, staf-staf sekolah serta para pelajar ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari laman web sekolah ini.
Semoga laman web ini akan dapat mempereratkan lagi silaturahim dan hubungan muhibah dengan semua pihak, terutama demi mempertingkat kemajuan dan kecemerlangan sekolah dalam arus pendidikan ICT di negara ini.
Laman web ini menyediakan info-info terkini berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran sekolah, guru-guru, murid-murid dan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun. Oleh yang demikian, saya sangat berharap semoga barisan pendidik di sekolah ini akan mempertingkat kegigihan dan bakti mulia untuk senantiasa menjana kecemerlangan sekolah ini ke mercu yang lebih gemilang. Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa barisan pendidik di sekolah ini berkemampuan menaburkan bakti untuk memperkasa lagi sekolah ini.
Di samping itu, saya juga berharap semoga para pelajar dapat mempertingkat ketekunan dalam usaha menimba ilmu, terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan akan menjadi obor yang sangat berguna dalam hidup sepanjang zaman.
Akhir kata, terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa ICT sekolah ini dan semua pihak yang telah menyumbangkan fikiran dan tenaga dalam usaha membangunkan laman web ini. Insya-Allah, mudah-mudahan sekolah ini akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.
Wassalam.
Pn. Asnah Binti Sumasto
Guru Besar SK Seri Perak
